2
Datin
Aisyah memerhati anak terunanya yang sedang termenung di taman seorang diri.
Perlahan-lahan dia menghampiri Amir yang masih melayan fikirannya.
“Anak mama buat apa sorang-sorang kat sini,” tegur
Datin Aisyah lembut sambil mengusap bahu Amir.
Amir berpusing menghadap uminya yang hanya berbaju
tidur itu. Senyuman manis dihadiahkan untuk uminya yang sentiasa memerhati
perubahan dalam dirinya dan akan cuba
menasihatinya sebaik mungkin.
“Amir ada masalah ke. Cuba kongsi dengan mama,” pujuk Datin Aisyah lembut.
Amir menggeleng perlahan. Bukan dia tidak sudi
tetapi dia malu dengan uminya.
“Tak usah malu
dengan mama. Mama akan cuba bantu jika mama tahu,” ujar Datin Aisyah
seolah-olah dapat membaca fikiran anak tunggalnya itu.
“Mama pernah
jatuh cinta tak?” soalnya lambat-lambat.
Datin Aisyah
tersenyum. Dia mengerti kini apa yang mengganggu fikiran anaknya itu. Amir
telah jatuh cinta. Sesuatu yang menarik untuk dicungkil.
Selama ini dia
tidak pernah melihat Amir serius dengan mana-mana perempuan tetapi kini lain
pulak ceritanya. Tentu gadis itu seorang yang hebat hingga mampu membuatkan
anaknya jadi begini.
“Pernah, dengan
abah Amir,” jawabnya tenang.
“Bagaimana
perasaan orang yang sedang dilamun cinta, ma,” soalnya lagi.
“Amir akan rasa
sunyi tanpanya, hati selalu teringat kepada sidia dan selalu ingin bersamanya.”
Amir diam
menghayati kata-kata mamanya. Ya, dia memang sedang menghadapi perkara yang
sama seperti dinyatakan oleh Datin Aisyah tadi. Sehari tidak menatap wajah
Amira dia rasakan hidupnya tidak sempurna dan hatinya sentiasa berlagu rindu
untuk bersama gadis itu. Adakah dia sudah jatuh cinta?
“Apa yang perlu
Amir buat mama,” Amir meminta bantuan mamanya untuk membantu dirinya yang
kebingungan saat ini.
“Amir cakaplah
dengan dia tentang perasaan Amir pada dia.”
“Bukan senang
mama. Selama ini Amir selalu saja sakitkan hati dia dengan harapan Amir dapat
halang hati Amir dari sayangkan dia tapi…” luahnya sayu.
“Kalau Amir tak
cuba bagaimana nak tahu. Selama ni anak mama yang sorang ni tak pernah gentar
dengan apa-apa tapi kenapa sekarang cepat sangat nak mengalah,” Datin Aisyah
cuba menaikkan semangat anak kesayangannya itu.
“Mama rasa Mira
akan terima Amir tak?” Amir masih tidak yakin sepenuhnya dengan dirinya
sendiri.
“Cuba dulu
sayang. Jangan cepat mengalah.” Ujar Datin Aisyah sebelum masuk kedalam rumah.
Dia mahu memberi ruang kepada Amir untuk berfikir sendiri.
Selepas tamat kuliah yang terakhir Amir terus memecut
keretanya ke kolej Amira. Dia sudah memikirkan perkara itu sebaik-baiknya
setelah berbincang dengan mamanya semalam. Dia harus berani untuk menyuarakan
hasrat hatinya kepada gadis itu sebelum terlambat.
Sampai saja
keblok dua belas Amir terus menelefon Amira. Nombor itu dia dapat sewaktu Amira
mendaftar dalam persatuan bulan sabit merah yang dipengerusikan olehnya.
“Hello, siapa
ni,” lembut suara dihujung talian.
Amir menelan
liurnya untuk mencari kekuatan. Lidah tiba-tiba saja kelu untuk bersuara. Suara
yang lembut itu menggugat hatinya.
“Hello.
Assalamualaikum,” Amira bersuara lagi. Bimbang suaranya tadi tidak dapat
didengari oleh si pemanggil.
“Mira, saya nak
jumpa awak kejap. Saya ada kat bawah ni,” akhirnya Amir besuara.
“Siapa ni?” Amira
ingin tahu.
Dia menjengukkan
kepalanya kearah tingkap. Saat terpandangkan Amir yang sedang bersandar di
keretanya membuatkan Amira kelu tiba-tiba.
“Saya Amir. Saya
ada sesuatu nak cakap dengan awak. Kalau awak tak turun saya akan buat kecoh
kat sini,” ugut Amir.
Amira diam. Dia
masih belum bersedia untuk bertemu kali kedua dengan lelaki itu setelah pertemuan
pertama antara mereka amat menyakitkan hatinya. Untuk apa Amir Fahmi mahu
berjumpanya lagi. Untuk menyakitkan hatinya sekali lagi seperti yang berlaku di
Tasik Kejut dulu?
“Cepat Mira. Saya
tahu awak nampak saya. Kalau awak tak turun sehingga saya bilang sepuluh saya
akan buat apa yang saya cakap tadi,” Amir bersuara lagi.
Amira mendengar
Amir membilang tetapi kakinya kaku untuk melangkah keluar dari biliknya di
tingkat lima itu. Dia terus menunggu hingga Amir selesai mengira. Dengusan Amir
terdengar ditelinganya.
“Awak tak nak
turun ye, baik…” nada Amir berlagu sebelum mematikan talian.
Amira menjenguk
untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh lelaki itu. Bukan boleh percaya
sangat dengan Amir Fahmi yang terkenal dengan sikap kurang sabarnya itu.
“Amira!!!” laung
Amir kuat.
Dia tidak peduli
dengan beberapa orang gadis yang melihatnya. Mereka berbisik sesama sendiri.
Mungkin pelik dengan sikapnya yang kebudak-budakan itu.
Amira tersentak.
Laungan Amir menarik perhatian penghuni blok itu. Ramai yang membuka tingkap
untuk melihat siapa yang membuat kecoh di tengah hari begini.
“Amira!! Lekas
turun. Saya tak akan pergi selagi awak tak turun,” laungnya lagi.
Diana yang sedang
tidur terperanjat. Dia tidak ada kelas hari ini jadi masanya dihabiskan dengan
merehatkan mata. Dia bangun menuju ketingkap dimana Amira sedang berdiri
bagaikan patung sahaja lagaknya.
“Apa yang bising
ni, Mira,” tanyanya sambil menuntaskan pandangan kebawah. Terlopong mulutnya
melihat Amir yang berada di bawah.
Geram sungguh
Amira dengan gelagat Amir. Pantas dia membetulkan tudung yang dipakai sebelum
melangkah keluar. Sakit sungguh hatinya rasa macam nak ditelan hidup-hidup saja
lelaki itu.
Amir tersenyum
memandang kelibat Amira yang menghampirinya. Wajah kelat gadis itu tidak mematikan
senyuman yang menghiasi bibirnya.
Terus sahaja
Amira masuk kedalam kereta Amir tanpa mempedulikan senyuman lelaki itu.
Wajahnya rasa tebal berinci-inci kerana terlalu malu dengan telatah Amir tadi
sedangkan Amir hanya selamba sahaja.
“Awak tak malu ke
buat kecoh kat sini. Kalau ye pun awak tak malu saya malu tau tak,” Amira
melepaskan perasaan marahnya yang membuak saat ini.
“Sorry sayang,
abang terpaksa buat macam tu,” ujar Amir dalam nada mengusik.
Amira menjeling
mendengar bahasa yang digunakan oleh Amir. Rasa mahu ketawa tetapi ditahannya.
“Jom kita pergi
makan dulu,” ajak Amir dan tanpa menunggu persetujuan Amira dia terus memandu
keluar dari kawasan kolej.
Amira hanya diam
walaupun hatinya berlagu bimbang. Dia tidak tahu apa motif lelaki itu berbuat
begitu padanya hari ini. Adakah lelaki disebelahnya sudah tidak betul lagi atau
sudah kena sampuk dengan hantu mana.
“Tak ada motif apa pun,” suara Amir mengejutkan
Amira. Lelaki itu seolah-olah boleh membaca fikirannya.
Amira gelisah sendiri apabila kereta yang dipandu
oleh Amir sudah jauh meninggalkan kawasan UM. Dia sangka Amir mahu makan dicafe
mana-mana kolej tetapi kini dia tidak tahu Amir mahu kemana.
“Awak nak bawa saya kemana ni,” soalnya agak
cemas.
Amir hanya tersenyum memandang wajahnya. Kereta
mereka membelok masuk kesebuah rumah yang tersergam indah menandakan
penghuninya adalah mereka yang kaya raya.
“Kita makan kat
rumah saya. Mama saya dah masak dan dia nak jumpa awak,” jelas Amir sambil
keluar dari perut kereta.
Amira terus kaku
tanpa rasa ingin keluar. Kenapa dia perlu berjumpa dengan mama Amir sedangkan
dia dan lelaki itu bermusuh. Apa yang hendak dikatakan padanya nanti.
Berkerut kening
Amir melihat Amira yang langsung tidak berganjak. Dia berpatah balik dan
membuka pintu di sebelah Amira. Wajahnya ditundukkan sedikit untuk menatap
wajah gadis itu.
“Awak tak nak
turun ke,” soalnya lembut.
Melihatkan tiada
tindak balas dari Amira, Amir menarik tangan gadis itu agar mengikuti
langkahnya. Amira berusaha melepaskan tangannya dari cengkaman tangan Amir yang
kuat itu. Semakin dia menarik tangannya semakin kuat pula genggaman itu. Sakit
sungguh hatinya saat itu.
“Lepaskan tangan
saya,” bentak Amira kasar.
Serentak itu
pintu utama dibuka dari dalam dan muncul seorang wanita lingkungan 40 an. Mungkin
ibu Amir agaknya.
Datin Aisyah
memerhati tangan anaknya yang sedang memegang erat tangan gadis di hadapannya.
Wajah gadis itu kemerahan kerana marah atau malu mungkin.
Amira menyalami
tangan wanita itu sesudah melihat Amir melakukan begitu. Datin
Aisyah tersenyum mesra menyambut tetamunya itu.
“Jemputlah masuk.”